Archive for April, 2008

Lailahaillallah

Hipokrasi

Ibarat ular bercabang dua
Bak pisang berbuah dua
Seperti nyiur bercabang dua
Macam kapal bernakhoda dua

Aku melihat arah tujuku
Kejap di sana kejap di situ
Aku sendiri tidak tahu
Kenapa aku jadi begitu?

Aku menilai akan diriku
Perangai tidak menentu
Hipokritkah aku?
Bermuka dua selalu

Bunga

Selepas berbulan diselimuti salju putih (atau hitam)
Musim bunga menampakkan diri (seminggu dua dahulu dan bukan sekarang)
Pohon-pohon mula merembeskan hormon (ada yang berbau)
Ada manusia yang bersin (Alhamdulillah)

Cecelah dedahan pepohon ceri (sakura)
Pepucuk muda mula menjelma (alahai)
Tasbih kupanjatkan kepada Ilahi (Subhanallah)
Yang mencetuskan idea kepada semua (Ya Allah)

Namun sebentar sahaja bunga mulai gugur (aku berfikir)
Menandakan hidup ini hanyalah sementara (dan… )
Mungkin esok lusa kitapun gugur (ingatlah!)
Menjadi santapan ulat di tanah, tumbuhan dibaja (mereka pula bersuka ria)

Bukti

Tidak cukupkah langit, bumi, serangga yang melata, margasatwa yang berterbangan, manusia yang berakal (atau tidak), dan segala apa di dalam dan di luar semesta ini sebagai bukti dan tanda kebesaran Allah? Apa lagi yang kita hendak sampai kita rasa diri kita ini hebat? Apa lagi yang kita mahu sampai kita rasa diri kita ini berkuasa? Hidup ini ibarat tumbuhan yang menghijau pabila disirami hujan, namun kemudian kering dan hancur menjadi debu ditiup angin.

Pintu Dua

Ketika kubangun, disuruhnya kududuk
Ketika kududuk, diarahkan kubaring
Ketika kubaring, dibisikkan kupejam
Ketika kupejam, dibelaikan kutidur
Ketika kutidur, dipanjangkan tidurku
Syaitan datang lagi dengan helah
Meletakkan keperluanku di bawah nafsuku
Mengalihkan kelakuanku dari kemestianku
Membisikkan tipu daya supaya kuberalih
Mengatakan kupenat dan tiada kudrat
Sedangkan kubisa berperang berdebat
Menambahkan keraguan dengan pendapat
Aku perlu tidur daripada bersolat
Aku perlu menyanyi daripada berselawat
Aku perlu makan minum tanpa berkat
Segalanya menjadi besar dan berat
Selimut kapas yang tidak mampu diangkat
Tangga masjid menjadi bertingkat
Sunat empat menjadi dua rakaat
Wahai diriku segeralah beringat
Allah pemberi nikmat dan rahmat
Pemberi ketenangan dan selamat
Ditarik segalanya hanya sesaat
Tiada gunanya punyai seribu hayat
Jika lupa asal usul asal kejadian
Dari mani kita diciptakan
Hina, dengan segalanya disuapkan
Tahi di dalam usus dikendongkan
Matiku nanti tanah dikambuskan
Tiada perlu kuujub, kubongkak
Kumulakan diri dengan merangkak

Pintu Satu

Mula-mula syaitan datang menghasut
Melengah-lengahkan apa yang patut
Dan aku pun mudah terikut-ikut
Dengan suara yang bersahut-sahut
Yang membuatkanku tersangkut
Dengan kemalasan yang bertaut
Namun patut kulakukan yang berikut
Menghisab diri mengingati maut
Namun dzikrulmaut sukar berpaut
Kugagahi jua, kurang bersungut

Kemaruk

Peristiwa lampau begitu mencengkam diri
Aku kemaruk dengan nafsu sendiri
Memang sukar Ya Tuhan untuk diperbetuli
Engkaulah kupohon segala yang kuhajati.

Gossip

Jika keburukan seseorang yang kita hebohkan itu adalah benar, maka kita telah mengumpat (ghibah), dan jika keburukan seseorang yang kita hebohkan itu adalah tidak benar, maka kita telah memfitnah.

Jadi seelok-eloknya, kita tutuplah keaiban mereka walaupun perasaan benci hampir menghantui diri. Walaupun perasaan ingin tahu menguasai nafsu. Yang kenal atau tidak dikenali, yang masyhur atau tidak, pemerintah atau rakyat biasa. Sesungguhnya kita tidak tahu bagaimana keadaan kita sewaktu maut hampir menjelma. Adakah kita menjadi lebih buruk daripada orang yang kita kutuk? Adakah kita menjadi lebih baik jika kita lakukan yang sebalik? Tidakkah kita tahu yang apa yang kita ujarkan (atau tulis) akan menjadi pemberat dacing di sebelah kiri? Adakah pahala/amalan kita cukup untuk disedekahkan kepada orang-orang yang telah kita aniaya? Adakah apabila perbuatan kita dihisab, kita menjadi papa kedana, malah keburukan orang lain yang harus kita pikul? Adakah mampu kita menanggungnya? Adakah kita telah ujub dengan diri kita dan yakin dengan perkara-perkara baik yang telah kita lakukan akan diterima, walaupun malam dihiasi dengan solat, siang dipenuhi dengan puasa dan selawat, tetapi jika Allah menolaknya, maka sia-sia sahaja? Adakah cukup untuk membalas nikmat kerdipan mata (ya, kerdipan sahaja, bukan nikmat melihat) yang telah Tuhan berikan?

Aku minta maaf atas perilakuku yang lalu. Dan juga muslimin, muslimat, mu’minin, mu’minat. Sesungguhnya aku tidak tahu dan aku pun tidak tahu adakah aku mampu membaikinya.

Bayangkan

Bayangkan jika tekanan di dalam peparu kita sama seperti di luar. Adakah mampu kita menarik nafas?
Bayangkan jika zarah di tubuh kita gagal mensintesis ATP. Adakah mampu kita punyai tenaga?
Bayangkan jika berlaku methylcytosine deamination kepada gene kita. Adakah mampu kita menghalang mutasi tersebut?
Bayangkan jika O2 yang kita hirup bertukar peratusannya dengan CO2. Adakah mampu kita menahan toxicity tersebut?

Kita tidak mampu. La hawla wala quwwata illa biLLah al ‘Aliyyil ‘Azhim

Niat

Setiap perilaku dimulakan dan disertakan dengan niat. Namun kenapa lintasan di hati itu masih berat? Masih tidak mampu diutarkan walaupun sesaat? Nauzubillah Ya Allah jauhkan aku dari sesat. Berikan aku kekuatan supaya aku larat. Untuk mengejar dunia kurniaan-Mu dan juga akhirat. Aku tahu dosa-dosaku masih sarat. Hanya Engkaulah yang masih mengurniakanku nikmat. Aku berterima kasih sangat-sangat atas keupayaan yang Engkau kurniakan dan semangat yang dihatiku disengat. Dengan niat, aku berlindung billah dari syaithan yang dilaknat. Dengan niat, aku ujarkan bismillah dan selawat. Dengan niat, aku mulakan hariku moga-moga selamat. Dengan niat, aku akhiri dengan doa dan berkat.

Next Page »